BINTULU: Sokongan padu rakyat Sarawak amat diperlukan bagi membolehkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meneruskan agenda pembangunan negeri ini.
Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini termasuk dari rakyat di Bintulu yang akan menyaksikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri(DUN) Jepak.
"Kita (GPS) mempunyai agenda ke arah 2030 iaitu membawa Sarawak ke arah negeri maju dan berpendapatan tinggi," katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah kilang baharu Longi Malaysia Sdn Bhd di Taman Perindustrian Samalaju, di sini.
Awang Tengah berkata, Bintulu merupakan pusat pelaburan dan pembangunan selain daripada sektor perkilangan dan juga sektor minyak dan gas negeri ini.
"Dalam politik, kita (GPS) mahu meningkatkan kesejahteraan, meningkatkan pelaburan, memastikan peluang pekerjaan dan anak-anak kita dilatih dalam kemahiran supaya mereka boleh menikmati gaji yang tinggi," katanya.
Katanya, jelas bahawa GPS juga adalah kerajaan yang kuat dan Premier Sarawak Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempunyai banyak dasar ke arah itu yang memerlukan semua bekerjasama.
Sumber dari : Jiwa Bakti